Enjin mengeram kuat tetapi kelajuan hanya 60km
MENGHABISKAN cuti
hujung minggu di Bukit Fraser, Raub, Pahang sudah jadi amalan Ghazli dan
Fazlin (buka nama sebenar) serta tiga anak mereka sejak setahun lalu.
Kerjaya
Ghazli sebagai pemuzik dan isterinya, penulis sesuai dengan suasana
semula jadi yang ditawarkan kawasan pelancongan berbukit di Banjaran
Titiwangsa ini.
Selain suasana alam semula jadi yang masih tidak
dicemari pemodenan yang rencam, Fazlin cukup mengagumi suasana
perkampungan seolah-olah di pedalaman negara Scotland yang dipenuhi
dengan bangunan granit kelabu dengan gaya Tudor.
Banyak kali juga
suami isteri ini mendengar cerita seram, pelik dan misteri yang dialami
pelancong yang bertandang, maklumlah kebanyakan banglo serta hotel yang
ada sedia wujud seawal era kolonial lagi, namun itu semua tidak pernah
menjadi penghalang.
Bukit Fraser menyimpan pelbagai sejarah
perjuangan orang Melayu sewaktu menentang penjajah Inggeris sejak 1917
hingga ambang kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.
Antara
kisah misteri yang pernah menyelubungi Bukit Fraser, termasuk pencarian
seorang paderi Kristian dari Singapura pada 1917, Bishop C.J. Ferguson
yang berjaya menemui ‘Bukit Fraser’ selepas berhari-hari mencari
rakannya, seorang pelombong bijih timah, Louis James Freser yang
dilaporkan hilang di dalam hutan itu.
Kerajaan Inggeris percaya
Freser mati dimakan binatang buas atau dibunuh Orang Asli dan tubuhnya
menjadi makanan mereka. Begitupun versi yang boleh diyakini menyatakan
Freser dibunuh pejuang Melayu yang menentang Inggeris.
Memang
sudah tertulis, setiap apa yang berlaku ada sebab tersendiri. Terpulang
kepada manusia dan insan di bumi Allah SWT untuk mengambil iktibar.
Kali
ini Ghazli dan Fazlin silap perkiraan dan lewat memulakan perjalanan
iaitu hampir Maghrib. Biasanya mereka akan mengelak mendaki Bukit Fraser
dalam suasana gelap kerana jalan yang sempit dan sukar ketika
berselisih kereta, banyak selekoh berbahaya dan curam. Jika sesuatu
berlaku sukar juga hendak mendapatkan bantuan.
Nekad meneruskan
perjalanan, kira-kira setengah jam memandu, sebaik melepasi kawasan
tadahan Empangan Kuala Kubu Bharu, mereka berasa seperti sesuatu yang
tidak kena dengan kereta yang dipandu.
Anak kedua mereka, Nayli, 6, sejak tadi resah dan takut. Fazlin memujuk sambil menyuruhnya cuba tidur seperti abang dan adiknya.
Fazlin
sendiri tambah gusar kerana baru hari pertama datang bulan, suami pula
senyap dan langsung tidak bercerita, malah cukup serius memandu. Sebelum
ini, tidak pernah pula dia begitu. Enjin kereta terdengar mengeram kuat
tetapi kelajuan hanya 60 kilometer sejam (km/j). Berpeluh Ghazli
menekan pedal minyak tetapi kelajuan tetap sama. Pelik, padahal kereta
baru dihantar servis. Bukit Fraser pun belum dipanjat lagi.
Bulu romanya tegak berdiri, dalam hati kalimah dan ayat suci serta Ayatul Kursi menemani mereka sepanjang perjalanan.
Jangka
waktu 20 minit sebelum sampai ke Gap dirasakan terlalu lama. Perasaan
sesal dan bimbang bercampur baur. Apa pula musibah yang bakal menimpa
mereka sekeluarga.
Sebaik melepasi selekoh lokasi tragedi Sir
Henry Gurney dibunuh, kenderaan tiba-tiba meluncur laju. Tiada lagi
bunyi enjin mengeram, ringan dan lancar. Ghazli dan Fazlin masih membisu
sehinggalah mereka tiba di menara jam di tengah pekan Bukit Fraser.
“Nampak
tak apa yang saya nampak?” kata Ghazli dengan wajah serius. Fazlin
dengan wajah pucat dan suspen sekadar menggelengkan kepala.
“Benda
tu terbang dan melintas betul-betul depan kereta kita dan terus lenyap
ke dalam hutan dekat selekoh tadi...” kata Ghazli lagi sambil meraut
muka dengan tangan. Rupa-rupanya kereta mereka ditumpang makhluk yang
dikenali sebagai pontianak.
“Patutlah abang diam semacam saja,
rupanya makhluk itu cuba mengusik kita sekeluarga. Barulah saya faham
kenapa orang tua kita tidak galakkan keluar rumah waktu Maghrib, inilah
mungkin sebabnya.”
Selepas kejadian itu, Ghazli dan Fazlin serik dan akan memastikan mereka akan naik ke Bukit Fraser hanya pada waktu siang.
Ini berdasarkan kisah benar...bukan rekaan....renung2kan dan selamat berjaga2...haha
No comments:
Post a Comment